Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan lebih ramai pegawai optometris bagi memastikan ia seimbang dengan jumlah populasi rakyat Malaysia yang kini mencecah 30 juta.

Berdasarkan nisbah terkini, seorang optometri adalah bagi keperluan 22,460 penduduk sedangkan keperluan nisbah di negara maju adalah seorang optometris bagi 8,000 penduduk.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, setakat Julai lalu, seramai 294 optometri berkhidmat dengan KKM iaitu masing-masing 42 orang di hospital pakar; 30 di hospital tanpa pakar serta dua di klinik kesihatan.

Beliau berkata, pada masa ini, bilangan optometri lebih tertumpu di hospital pakar kerana perkhidmatan dan kepakaran mereka sangat diperlukan bagi menyokong perkhidmatan oftalmologi.

“Setakat 1 Ogos lalu, seramai 4,680 pengamal bidang optometri didaftarkan dengan 1,512 daripada mereka adalah optometri dan 3,168 adalah juru-
optik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Saintifik Optometri KKM ke-2, semalam.

Menurutnya, dua perkara yang boleh dilakukan bagi meningkatkan nisbah optometris di seluruh negara iaitu dengan menambah jumlah tempat bagi penuntut optometri di universiti awam dan swasta.

“Kami sedar ada kekangan pegawai optometri di hospital kerajaan berikutan ada graduan dalam bidang itu yang memilih untuk berkhidmat di hospital swasta selain membuka kedai optometri.

“Kami akui ada kekangan itu, namun tidak menghalang graduan untuk memilih di mana mereka ingin berkhidmat. Jika mengambil unjuran kebangsaan, bilangan optometris di hospital kerajaan buat masa ini tidak mencukupi,” katanya.

Selain itu, katanya, kementerian juga akan melaksanakan program di peringkat sekolah bagi menarik minat pelajar menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:05 AM