DR Subramaniam beramah mesra dengan  pesakit   ketika lawatan kerja ke Institut Kanser Negara, semalam.
DR Subramaniam beramah mesra dengan pesakit ketika lawatan kerja ke Institut Kanser Negara, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Seramai 200 lagi pakar onkologi diperlukan negara bagi menampung keperluan rawatan kes kanser membabitkan 40,000 pesakit baru setiap tahun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, buat masa ini, negara hanya mempunyai 80 pakar onkologi yang bertugas di seluruh negara dan ia tidak mencukupi bagi menampung keperluan sebenar.

“Seramai 22 pakar onkologi berkhidmat di hospital kerajaan, 34 di universiti dan 24 di hospital swasta.

“Disebabkan itu, kita perlu meningkatkan peluang latihan bagi melahirkan lebih ramai doktor pakar di negara ini dalam pelbagai bidang terutama onkologi” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Institut Kanser Negara (IKN), di sini, semalam.

Katanya, kementerian juga bekerjasama dengan Universiti Malaya (UM) untuk menggandakan bilangan pakar onkologi di negara ini menerusi kerjasama dalam aspek peningkatan latihan tenaga manusia khusus dalam bidang onkologi dan radioterapi.

Subramaniam berkata, selain itu, beliau turut menggalakkan doktor melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Perubatan Onkologi di UM.

Dalam perkembangan sama, katanya, antara Pusat Rawatan Onkologi di bawah Kementerian Kesihatan yang sangat memerlukan tenaga pakar adalah Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu; Hospital Pulau Pinang; Hospital Likas, Sabah dan Hospital Umum Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan mengakui kekurangan pakar onkologi di hospital kerajaan mungkin disebabkan gaji lumayan di sektor swasta. Justeru, kementerian memberi kelonggaran kepada mereka untuk berkhidmat di hospital swasta, namun pada masa sama tidak meninggalkan hospital kerajaan.

Dalam pada itu, katanya jumlah kes kanser direkodkan setiap tahun sebanyak 35,000 hingga 40,000 kes dengan kanser paru-paru, payudara dan usus kanser utama dihidapi rakyat Malaysia.

“Lakukan pemeriksaan awal sekiranya terdapat simptom yang mungkin berkaitan kanser.

“Sebagai contoh, kanser payudara jarang menyerang golongan lelaki dan statistiknya juga kurang daripada satu peratus, namun mereka digalakkan melakukan biopsi sekiranya terdapat ketulan di bahagian dada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:21 AM