RAJA Farah bersama bapa pada majlis sidang media mengumumkan pertunangan.
RAJA Farah bersama bapa pada majlis sidang media mengumumkan pertunangan.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Shah Alam: “Maafkan saya kerana terpaksa merahsiakan identiti bakal suami,” itu reaksi pelakon, Raja Farah Raja Aziz, 27, ketika membuat pengumuman majlis perkahwinan yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun Raja Farah enggan mendedahkan tarikh majlis nikah dan persandingannya. Dia mengesahkan perkara itu ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di kediamannya di sini, semalam.

“Atas persetujuan bersama, saya perlu merahsiakan identiti bakal suami. Tujuannya untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku sebelum menjelang hari pernikahan.

“Cukup saya perkenalkan dia sebagai II, masih bujang, berasal dari Ampang dan seorang ahli perniagaan,” katanya.

Jelas pelakon filem Aku Masih Dara ini, dia terbuka hati berkahwin kali kedua selepas melihat kesungguhan ditunjukkan bakal suaminya.

“Dari mula dia mendapat nombor telefon saya, dia cuba mendekatkan diri dengan saya dan keluarga. Dari situ saya nampak keyakinannya. Tambahan pula, selepas bercerai hati saya kosong. Kehadirannya tepat pada masa dan merasakan dia mampu membahagiakan saya,” katanya.

Keputusan Raja Farah itu sekali gus menafikan dia melanggar tempoh edah selepas bercerai pada 25 Mei lalu.

“Sebelum mengambil keputusan ini saya terlebih dulu merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini. Selepas tiga kali suci bermakna tempoh edah tamat. Jadi, pada 8 Ogos lalu pihak lelaki menghantar rombongan merisik. Kirnya tiada isu saya mahu melangsungkan majlis pertunangan dan nikah dalam tempoh edah,” katanya.

Menurut Raja Farah, statusnya sebagai janda tidak menghalang hubungan terbabit.

“Mulanya dia tidak tahu saya pelakon malah status saya sebelum ini pun dia cari sendiri. Apabila dia bertanya sendiri perkara itu, tidak ada apa yang perlu dirahsiakan. Malah keluarganya berfikiran terbuka dan menerima baik kehadiran saya,” katanya.

Terlebih dulu Raja Farah selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan jejaka berusia 33 tahun itu di kediaman keluarganya di sini, 12 tengah hari semalam iaitu sebelum diadakan majlis sidang media.

“Alhamdulillah, majlis pertunangan lancar dengan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak,” katanya.

Sebelum ini, Raja Farah mendirikan rumah tangga dengan Megat Bashirun Qhuyum pada 12 November 2010 sebelum mereka sah bercerai pada 25 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:38 AM