IDRIS (tengah) melawat gerai yang menyediakan juadah sempena Rumah Terbuka Aidilfitri MPHTJ dan MBMB di Dataran Bandaraya MBMB, Ayer Keroh.
IDRIS (tengah) melawat gerai yang menyediakan juadah sempena Rumah Terbuka Aidilfitri MPHTJ dan MBMB di Dataran Bandaraya MBMB, Ayer Keroh.
Oleh Nur Ain Musdad

Melaka: Sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mempunyai struktur lengkap di seluruh negara, UMNO perlu mempunyai dana untuk menghadapi pilihan raya dan menjalankan kegiatannya setiap penggal.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata, aktiviti mengumpul dana bukan setakat berlaku di Malaysia malah amalan itu turut wujud di negara luar membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan politik atau bukan politik.

“Semua parti politik berdepan pilihan raya dan perlu menjalankan aktiviti setiap penggal, jadi mesti ada sumber kewangan,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), semalam.

Sehubungan itu, Idris berkata, tidak wajar segelintir pihak mempersoalkan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan penderma.

“Bukan parti BN saja mempunyai dana. Sekurang-kurangnya kita tahu BN ada dana sejumlah itu tapi bagaimana dengan parti pembangkang seperti DAP, PAS dan PKR,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 8:18 AM