Sepang: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan menyerahkan status pengoperasian syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Sabah kepada kerajaan.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Badlisham Ghazali berkata, perkara itu dilakukan berikutan keputusan AirAsia yang enggan berpindah dari Terminal 2 ke Terminal 1 (KKIA) seperti yang diputuskan oleh kerajaan.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada persidangan Dewan Negara menjelaskan, AirAsia perlu berpindah ke Terminal 1 mulai 1 Ogos.

Menurut Liow, Terminal 2 dibina sebagai terminal sementara sehingga kerja penambahbaikan Terminal 1, membabitkan kos RM1.4 bilion, siap.

“Kita hanya ‘tuan rumah’, tak boleh nak memaksa syarikat penerbangan menggunakan perkhidmatan dan fasiliti yang kami sediakan dan kita menyerahkan perkara ini kepada kerajaan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebagai pengawal selia,” katanya kepada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MAHB semalam.
– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:22 AM