Mohd Safwan menunjukkan pisau jentera pembajak yang hampir meragut nyawanya.
Mohd Safwan menunjukkan pisau jentera pembajak yang hampir meragut nyawanya.

Parit Buntar: Peristiwa kaki terkena pisau jentera membajak sawah lapan tahun lalu tidak menghalang seorang anak muda terus mencari rezeki dengan bekerja sebagai pemandu jentera terbabit.

Mohd Safuan Arbain, 27, bagaimanapun sering kali teringat kembali peristiwa ngeri terbabit ketika membersihkan mata pisau yang pernah mencarikkan daging kaki kanannya.

Dia yang mengambil upah memandu jentera terbabit sejak berusia 15 tahun berkata, kemalangan pada 2007 itu hampir meragut nyawanya apabila keseluruhan kaki kanan terperosok ke bahagian mata jentera ketika sedang membersihkan ketulan selut pada mata pisau jentera berkenaan.

Menceritakan kembali peristiwa itu, Mohd Safuan berkata, kejadian berlaku sehari sebelum Hari Raya Aidiladha pada jam 6 petang sewaktu dia membersihkan mata pisau dengan enjin jentera dibiarkan hidup, tetapi kadar kelajuan minimum.

“Sejurus selut dibersihkan, mata pisau terus berputar laju dan secara tiba-tiba saya terasa kaki ditarik ke dalam ruang putar mata pisau itu.

“Akibatnya hampir keseluruhan daging kaki kanan dikisar mata pisau terbabit, namun mujurlah enjin jentera itu mati secara tiba-tiba,” katanya.

Mohd Safuan berkata, dalam kesakitan itu, dia menggagahkan diri menarik kaki yang tersekat pada mata pisau pemutar, tetapi usahanya gagal.

“Dalam keadaan hampir pitam, saya mengambil telefon bimbit pada beg pinggang dan terus menghubungi rakan yang pada ketika itu memandu jentera membajak di kawasan berhampiran.

“Sejurus rakan tiba dan membantu, saya sempat melihat keadaan kaki saya yang berlumuran darah dengan isi daging kaki seperti disiat-siat dan saya kemudian dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping bagi rawatan lanjut serta terlantar di hospital selama hampir dua minggu,” katanya.

Menurutnya, susulan peristiwa itu, dia menerima lebih 150 jahitan bagi mencantumkan semula isi yang terkoyak, namun selepas sebulan keluar dari hospital, dia kembali memandu jentera sama untuk mencari rezeki.

“Walaupun dihalang ahli keluarga, saya tetap mengambil upah memandu jentera membajak untuk mencari rezeki dan peristiwa itu saya anggap sebagai ketentuan Tuhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:19 AM