MANGSA hampir kehilangan jari akibat terkena mata mesin rumput. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MANGSA hampir kehilangan jari akibat terkena mata mesin rumput. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LELAKI hampir kehilangan jari kaki kiri apabila terkena mata mesin potong rumput ketika menebas di Kampung Parit Mat Ali, Kuala Kurau dekat Parit Buntar, hari ini.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu , mangsa dikenali sebagai Firdaus, 28, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kuala Kurau sebelum dirujuk ke Hospital Taiping akibat luka dan keretakan tulang jari kaki.

Ketika kejadian, mangsa bersama lima rakan dikatakan baru memulakan kerja menebas parit di kawasan kampung berkenaan dan mata mesin pemotong rumput digunakannya dipercayai terkena tunggul kayu.

Firdaus berkata, baru beberapa minit memotong rumput, mata mesin terkena tunggul kayu menyebabkan ia hilang kawalan dan mengenai kaki kirinya.

“Mata pisau itu tepat mengenai kasut dan kejadian itu menyebabkan jari kedua hampir putus.

“Saya segera meminta pertolongan rakan untuk membawa ke klinik berhampiran sebelum dikejarkan ke Hospital Taiping,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, susulan kecederaan itu dia menerima 10 jahitan dan terdapat sedikit keretakan pada tulang jari.

“Sepanjang 10 tahun menjalankan kerja kampung, ini kali pertama saya cedera dan saya anggap ia berpunca dari kecuaian diri sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:30 PM