KEADAAN lori yang terbakar di Jalan Raya Timur Barat, semalam.
KEADAAN lori yang terbakar di Jalan Raya Timur Barat, semalam.

Jeli: Seorang pemandu nyaris maut apabila lori membawa muatan minyak sawit dipandunya terbakar di Batu 14, Jalan Raya Timur Barat, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa Hamidi Mahmud, 36, memandu sendirian dari arah Grik, Perak menghala Ke Kota Bharu sebelum menyedari bahagian hadapan lorinya itu terbakar.

Mangsa bagaimanapun sempat memberhentikan lori dan lari menyelamatkan diri.

Hamidi turut mengalami kecederaan di muka dan tangan apabila cuba memadamkan kebakaran daripada terus merebak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Soleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.28 pagi sebelum lima anggota dan satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kami mengambil masa 20 minit untuk memadamkan api menggunakan buih bagi mengelakkan api terus merebak ke tangki yang terletak di belakang kepala lori.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:11 AM