FOTO fail menunjukkan individu dijangkiti cacar monyet. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan individu dijangkiti cacar monyet. FOTO AFP
AFP

Madrid: Sepanyol, pada Rabu, mengesan 59 kes cacar monyet dan kerajaannya akan mendapatkan vaksin serta ubat antivirus untuk membendung penularannya melalui perjanjian perolehan bersama Kesatuan Eropah (EU).

Menteri Kesihatan Sepanyol, Carolina Darias berkata, kesemua 59 individu disahkan positif penyakit itu selepas menjalani ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) dengan 20 daripadanya disahkan mengalaminya melalui penjujukan genom.

Secara keseluruhan, 171 kes disyaki cacar monyet dilaporkan di seluruh negara.

Sepanyol juga berhasrat untuk memperoleh vaksin cacar Imvanex dan antivirus Tecovirimat yang biasanya digunakan untuk merawat penyakit sama melalui skim perolehan bersama EU untuk cuba menghalang penyebaran cacar monyet, kata Darias.

Pihak Berkuasa Tindakan Kecemasan Kesihatan EU "akan menyediakan vaksin cacar kepada negara anggota," katanya, sambil menambah dos akan diagihkan secara saksama antara negara anggota.

Tiada rawatan khusus bagi penyakit itu, namun vaksinasi didapati berkesan 85 peratus dalam mencegah cacar monyet.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, sehingga 22 Mei, lebih 250 kes yang disahkan dan disyaki dilaporkan secara rasmi kepada agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari 16 negara di luar negara endemik dekat Afrika barat dan tengah.

Cacar monyet, jangkitan yang jarang berlaku pada manusia, boleh merebak melalui kontak rapat manusia dan haiwan, dan juga boleh merebak antara manusia dengan manusia.

Antara gejalanya termasuk demam, sakit otot, sakit kepala, bengkak nodus limfa, keletihan dan ruam kulit seperti cacar air pada tangan serta muka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 11:24 AM