WARIS bayi lelaki berusia dua bulan dicari.
WARIS bayi lelaki berusia dua bulan dicari.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang memohon ibu bapa atau waris kepada seorang bayi lelaki yang ditinggalkan sejak dilahirkan 25 Mei lalu supaya tampil menuntutnya.

Bayi berkenaan kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras sehingga 27 Ogos ini.

Penolong Pegawai JKM Klang Noor Adelin Nordin berkata, bayi berkenaan dilahirkan di sebuah rumah di Pandamaran sebelum ditinggalkan ibunya.

“Berdasarkan maklumat, tidak lama selepas melahirkan, ibu kepada bayi berkenaan meminta jirannya yang juga seorang wanita untuk menjaga bayi itu sementara dia keluar membeli makanan.

“Bagaimanapun, wanita terbabit terus tidak pulang dan jiran berkenaan kemudian membawa bayi itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya.

Bayi berkenaan tiada sijil lahir dan dokumen berkaitan.

Noor Adelin berkata, ibu bapa atau waris bayi berkenaan juga gagal untuk menuntutnya sehingga kini.

“Jika tidak dituntut, bayi berkenaan akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu keluarga angkat yang berdaftar dengan JKM.

“Kami mohon ibu bapa atau waris supaya tampil ke JKM Klang bagi menuntut bayi berkenaan atau menghubungi talian 03-33413704 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:35 AM