Oleh Nazarali Saeril


Cadangan kerajaan Indonesia untuk menaikkan gaji pembantu rumah warga republik itu yang bekerja di Malaysia kepada RM1,200 sebulan menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan majikan di negara ini selain mereka yang terbabit dengan industri berkenaan.

Banyak pihak termasuk majikan tidak setuju kerana ia bukan saja membebankan, malah pembantu rumah terbabit sebahagian besarnya tidak berkemahiran selain kerap menimbulkan masalah apabila berada di sini termasuk lari daripada majikan hanya selepas beberapa minggu bekerja.

Timbalan Duta Besar Indonesia di Malaysia Hermono memberi alasan kenaikan gaji kepada RM1,200 sebulan itu bagi menjadikan pekerjaan pembantu rumah di Malaysia lebih kompetitif.

Kafe Ahad mendapatkan Presiden Persatuan Agensi Pekerja Asing Malaysia (PAPA) Jeffrey Foo bagi mengulas isu ini.

Apa kualiti diperlukan oleh pembantu rumah untuk melayakkan mereka menerima gaji RM1,200 sebulan?

Ketika ini, kualiti pembantu rumah warga Indonesia yang dibekalkan oleh ejen pembantu rumah sebahagian besarnya tidak memenuhi ciri-ciri serta standard yang dimahukan oleh majikan di Malaysia.

Latihan sudah dibuat oleh agensi berkaitan di Indonesia terhadap pembantu rumah ini namun agensi terbabit tidak menjalankan sebarang usahasama untuk melatih pembantu rumah berkenaan dengan agensi di Malaysia bagi memastikan ia selaras dengan apa yang majikan di sini kehendaki.

Untuk makluman, ramai pembantu rumah terbabit sepatutnya diberikan latihan secukupnya di Indonesia namun ramai yang akhirnya sekadar menerima sijil tanpa perlu melalui latihan terbabit.

Latihan yang perlu dijalani pembantu rumah membabitkan kefahaman berkaitan tradisi serta budaya masyarakat Malaysia, agama, tabiat pemakanan selain memahami kaedah yang betul untuk memberi penjagaan kepada warga emas, kanak-kanak serta bayi.

Pada masa sama, pembantu rumah juga perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk bekerja di luar negara selain memastikan mereka memiliki sikap yang sesuai terhadap majikan serta tugasan yang bakal dilaksanakan.

Selain itu, latihan dijalankan juga perlu intensif selain ujian serta persijilan diberi mengikut perjanjian bersama kedua-dua belah negara.

Kerana itu, pembantu rumah warga Indonesia masih belum layak untuk menerima gaji RM1,200 sebulan memandangkan banyak lagi yang mereka perlu lakukan sebelum berhak memperoleh gaji berkenaan.

Bagaimana majikan melihat permintaan baru ini?

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:14 AM