AHLI keluarga mangsa menunggu proses bedah siasat di bilik mayat HTJS.
AHLI keluarga mangsa menunggu proses bedah siasat di bilik mayat HTJS.
KEADAAN mangsa yang maut selepas digilis treler dalam kemalangan di  Jalan Seremban-Kuala Pilah.
KEADAAN mangsa yang maut selepas digilis treler dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah.
Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: “Tuhan ampun aku, sayangi aku, tutuplah aib-aibku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki dan petunjuk.”

Demikian tulisan pada sekeping kertas ditemui dalam genggaman tangan kiri Dina Shuhadah Ahmad Fariz, 17, yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di persimpangan lampu isyarat Ampangan, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja’afar itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas digilis treler membawa muatan konkrit.

Mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dan dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Lavender Height, Senawang ke sekolahnya sebelum hilang kawalan lalu bergesel dengan kereta Perodua Viva menyebabkannya terjatuh.

Sejurus kejadian, ibu mangsa, Osni Azura Osman, 42, beberapa rakan dan guru sekolahnya datang ke tempat kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, untuk bedah siasat.

Datuk mangsa, Osman Senara, 72, berkata, kali terakhir dia bertemu cucunya yang mesra dengan panggilan Agun ialah di rumah seorang anaknya di Taman Golf Height, Ampangan Sabtu lalu.

“Ketika itu anak saya menjemput semua ahli keluarga kami berbuka puasa di rumahnya. Kami makan, solat dan berbual seperti biasa dan saya tidak nampak sebarang petanda atau perubahan pada arwah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HTJS.

Menurut Osman, arwah cucunya periang dan rajin mengulang kaji pelajaran kerana berhasrat memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti kakaknya, Dini Akilah, 18.

Osman berkata, bapa mangsa, Ahmad Fariz Idris, 43, yang bertugas di sebuah syarikat perkapalan di Terengganu dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Agun sebelum bergegas pulang.

Jenazah Dina Shuhadah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang selepas Zuhur semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa menunggang motosikal dari Senawang ke Seremban.

“Selepas bergesel bahagian kiri Perodua Viva, mangsa terjatuh di lorong kiri dan pada masa sama, treler yang melalui jalan itu gagal mengelak dan melanggar mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:57 AM