MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Hasbi


Seremban: Lelaki warga emas maut selepas digilis lori kira-kira sejauh 10 meter di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran lampu isyarat ke Jalan Seremban-Tampin, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, lelaki berusia 80 tahun itu cuba memotong di sebelah kiri lori namun bergesel dan terjatuh.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa tersepit di bawah tayar lori berkenaan sebelum dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang.

"Siasatan awal mendapati lori itu bergerak lurus dari arah Kuala Pilah menghala ke Plaza Tol Senawang.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 80 tahun dikatakan cuba memotong namun bergesel dengan lori yang dipandu lelaki berusia 69 tahun itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nanda berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa dipercayai terjatuh dan digilis lori yang datang dari Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senawang sebelum diseret sejauh kira-kira 10 meter.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 5:41 PM