Kuala Lumpur: Taktik seorang lelaki menyorokkan sepucuk pistol angin dan kelopak peluru di dalam sarung bantal bayi tidak berhasil apabila dibongkar polis, malam Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur pergi ke flat kediaman suspek di Pantai Ria, Lembah Pantai, selepas menerima maklumat suspek menjalankan aktiviti penjualan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, selepas menunjukkan kad kuasa polis, pegawai dan anggota berkenaan masuk untuk melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam almari pakaian menemui satu bantal bayi bercorak kartun berwarna merah jambu.

“Di dalamnya mengandungi sepucuk pistol angin berjenama Pietro Beretta Garoone V T buatan Itali berserta satu kelopak peluru.

“Turut dijumpai, sebilah pedang samurai berukuran hampir satu meter dan kerambit,” katanya.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) (a),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2015 @ 7:30 AM