Mohd Haziq  bersama Tompok yang menyelamatkan nyawa mereka.
Mohd Haziq bersama Tompok yang menyelamatkan nyawa mereka.
Oleh Adnan Ibrahim

Simpang Renggam: Bunyi bising seekor kucing betina yang dipanggil Tompok menyelamatkan sebuah keluarga selepas kediaman mereka di Kampung Parit Haji Salleh, di sini, musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 malam itu, raungan Tompok mengejutkan Siti Rokiah Kasmuri, 28, yang ketika itu hanya bersama anaknya lelaki, Mohd Haziq Tumiran, 19 bulan.

Siti Rokiah berkata, bunyi bising kucing peliharaannya itu mengejutkan dia sebelum menyedari rumah terbakar.

“Jarang sekali dia berbunyi atau membuat bising, tetapi pada malam kejadian, Tompok cukup bising sehingga menyelamatkan saya bersama anak daripada menjadi mangsa kebakaran.

“Ketika itu saya lihat bahagian dapur sudah musnah sebelum api merebak ke hadapan rumah dengan kepulan asap yang banyak,” katanya ketika menerima bantuan barangan dapur dan pakaian daripada Pengurusan Pasaraya Econsave Simpang Renggam, di sini, semalam.

Siti Rokiah berkata, dia cuba menenangkan diri dan sambil mendukung anak lelakinya, dia mengambil dokumen penting serta Tompok sebelum menyelamatkan diri.

“Ketika kejadian saya hanya tinggal berdua di rumah pusaka peninggalan keluarga. Ketika itu, suami, Tumiran Misnan, 29, bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat industri di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, struktur rumah yang dibina daripada kayu menyebabkan api marak lebih pantas.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu, namun bersyukur kerana bunyi bising Tompok, saya dan Mohd Haziq masih hidup dengan izin Tuhan, walaupun tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Dia berkata, pasukan bomba dan penyelamat membantu memadamkan kebakaran.

Sementara itu, Tumiran berkata, dia bersyukur ahli keluarganya selamat.

“Mujur isteri sempat mengundurkan Proton Iswara yang diletakkan di hadapan rumah, walaupun tidak biasa menggunakan gear manual.

“Kami kini menumpang di rumah ibu mentua di Taman Desa Sejahtera,” katanya.

Dia turut berterima kasih dengan keprihatinan Pasaraya Econsave Simpang Renggam yang tampil membantu mengurangkan bebannya.

“Kami juga berterima kasih dengan kunjungan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Simpang Renggam, Pusat

Khidmat Parlimen Simpang Renggam dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang menghulurkan bantuan kecemasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 12:29 PM