MUSTAPA  (kiri), Othman  dan Machimura pada majlis penyerahan kunci kereta bagi program TKHM.
MUSTAPA (kiri), Othman dan Machimura pada majlis penyerahan kunci kereta bagi program TKHM.
Oleh Erywan Norshal

Kuala Lumpur: Isuzu Malaysia Sdn Bhd menaja lima kenderaan- tiga trak pikap dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) terbarunya, Isuzu MU-X sebagai pengangkutan rasmi sepanjang berlangsungnya program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2015 pada Ramadan ini.

Kenderaan itu akan mengiringi rombongan TKHM 2015 di Masjid Ar Rahman, Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan pada 26 dan 27 Jun ini, diikuti 4 serta 5 Julai ini di Masjid Jamek Beseri, Padang Besar, Perlis.

Pengarah Eksekutif/Pengurus Besar Kanan Isuzu Malaysia Hajime Machimura berkata, tajaan kenderaan itu adalah sebahagian kerjasama bersama media dalam usaha memberi sokongan terhadap program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan.

"Isuzu Malaysia memberi sokongan penuh dalam menjayakan program ini serta memudahkan perjalanan rombongan yang seperti dijalankan beberapa tahun lalu.

"Kali ini kami turut menaja model terbaru iaitu Isuzu MU-X yang mampu memberi pendedahan produk baru yang ditawarkan kepada masyarakat," katanya.

Tajaan diserahkan kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar. Hadir sama Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi TKHM Othman Mamat serta Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Muhamad Safar Ahmad merangkap Setiausaha TKHM.

Sementara itu, Machimura berkata, Isuzu Malaysia turut menerima sambutan memberangsangkan bagi model Isuzu MU-X yang disasarkan jualan sehingga 1,000 unit pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 10:16 AM