Kuala Lumpur: “Mujurlah hati ini berat untuk balik (Johor) berjumpa emak semalam (kelmarin) sebab masa kami berkomunikasi melalui panggilan video petang itu nampak keadaannya semakin lemah,” kata pelawak Tauke Jambu mengenai kematian ibunya, Jaimah Mohd Amin, 64, akibat kanser rahim awal pagi semalam.

Katanya, dia reda dengan berita itu bagaimanapun agak terkilan kerana keadaan ibunya sudah nazak apabila dia tiba di kampung di Masai, Johor.

“Alhamdulillah semua sudah selesai (pengebumian) selepas Zuhur. Setidaknya, sempat juga saya luang masa dengannya beberapa jam sebelum dia menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.21 pagi.

“Tapi, tidak dinafikan ada sedikit ralat sebab tidak dapat berbual dengan emak bila saya sampai di rumah. Keadaan emak sudah nazak, matanya sudah tertutup dan tidak sedar saya balik,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 38, ibunya disahkan menghidap kanser rahim tahap keempat pada sekitar awal tahun ini.

Katanya, keadaan Allahyarham semakin serius selepas pembedahan membuang kanser itu beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, kekuatan semangat ibunya melawan penyakit itu membuatkan dia terus bertahan selama beberapa bulan walaupun penyakit itu sudah berada tahap kritikal.

Allahyarhamah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Johor, dekat sin,i selepas Zuhur semalam.

Terdahulu, Tauke kehilangan bapanya kira-kira dua tahun lalu.

Tauke yang juga penyampai radio Era FM berkata, dia bersyukur kerana digerakkan hati untuk pulang ke kampung serta-merta selepas perbualan telefon itu.

“Kalau diikutkan saya hendak pulang melawat emak pada Jumaat ini selepas bertugas di radio, tapi entah bagaimana semasa berbual dengannya semalam saya tergerak untuk pulang petang itu juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 10:22 AM