Thaiveegan menunjukkan ketulan ganja yang dirampas.
Thaiveegan menunjukkan ketulan ganja yang dirampas.

Georgetown: Rahsia 13 guni mengandungi sesuatu seperti ketulan batu bata yang disorokkan di kawasan semak di tepi pantai membongkar kegiatan pengedaran ganja apabila polis menemui 477 ketulan ganja seberat 470.1 kilogram dianggarkan bernilai RM1.6 juta dalam serbuan di Teluk Bahang di sini, Sabtu lalu.

Serbuan jam 6 pagi itu membabitkan pasukan anggota dari Balai Polis Teluk Bahang selepas menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan itu sebelum melakukan intipan.

Timbalan Ketua Polis negeri Datuk A Thaiveegan berkata, ketika serbuan dilakukan, tiga lelaki menutup bungkusan dadah dalam guni berkenaan yang cuba disorokkan daripada pandangan orang ramai.

“Mereka cuba mengaburi pihak berkuasa kononnya setiap guni itu mengandungi pasir untuk kerja di tapak pembinaan berhampiran pantai berkenaan tetapi sebenarnya mengandungi 477 ketulan ganja.

“Ketiga-tiga suspek terkejut dan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun seorang daripada mereka yang berusia 22 tahun yang cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam laut ditahan.

“Suspek tidak tahu berenang sebelum akhirnya ditahan manakala dua lagi rakannya meloloskan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Beliau berkata, semua dadah itu dimasukkan dalam 13 guni dengan setiap ketulan seberat satu kilogram dan dimasukkan antara 10 hingga 15 ketul dalam satu guni.

Menurutnya, pihaknya mengesyaki bekalan dadah itu sengaja diletakkan di kawasan tepi pantai selepas dipercayai diseludup masuk melalui negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 6:09 AM