MUHYIDDIN menerima buku sebagai simbolik perasmian Sambutan Hari Guru Kebangsaan.
MUHYIDDIN menerima buku sebagai simbolik perasmian Sambutan Hari Guru Kebangsaan.
Oleh Ahmad Saufi Mansor

Jitra: Kerajaan mengumumkan tiga berita baik kepada golongan guru sebagai hadiah di atas pengorbanan mereka melahirkan modal insan berkualiti sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2015, di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan berkata, kerajaan bersetuju untuk menambah baik elaun pengetua dan guru besar sedia ada kerana peranan penting mereka dalam kecemerlangan sesebuah sekolah bertepatan dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurutnya, ini kerana peranan dan tugas mencabar dalam mendokong transformasi sistem pendidikan yang memerlukan kewibawaan dan kreativiti ketika berada di sekolah.

“Elaun sedia ada berkuat kuasa pada 2000 lalu kini dinaikkan daripada RM150 kepada RM300 untuk 2,405 pengetua sekolah menengah manakala elaun 7,757 guru besar sekolah rendah dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berkuat kuasa pada 1 Julai depan.

“Saya bagi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kerana memberi persetujuan kepada cadangan KPM menambah baik elaun pengetua dan guru besar di seluruh negara.

“Insentif ini diharap dapat mendorong pemimpin sekolah untuk terus meningkatkan kualiti kepemimpinan bagi menjamin kecemerlangan sekolah dalam keberhasilan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampai ucaptama pada majlis perasmian Sambutan Hari Guru 2015 bertema Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak di Dewan Wawasan, di sini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan P Kamalanathan serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju menyeragamkan had usia pegawai awam untuk mengikuti ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) daripada 43 tahun kepada 45 tahun di bawah Hadiah Latihan Persekutuan.

Menurutnya, peningkatan had usia bagi pegawai awam mengikuti ijazah sarjana akan memberi lebih peluang kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Peningkatan ilmu dalam kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan menjadi pemacu perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata, selain itu Yayasan Guru Tun Hussein Onn akan menjaga kebajikan guru termasuk mendapatkan pembiayaan melanjutkan pengajian terutama mereka yang tidak layak mendapatkan biasiswa kerajaan kerana melebihi had usia.

“Akta Yayasan Guru Tun Hussein Onn (Akta 763) diluluskan Parlimen dan diwartakan. Yayasan ini akan menjaga kebajikan guru dengan memberi keutamaan kepada guru yang memerlukan bantuan kecemasan, bantuan alam, khairat kematian dan bantuan peralatan sokongan seperti kerusi roda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:11 AM