Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek
Amir Mamat dan Nuraliawati Sabri


Melaka: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan 10 prakarsa dalam usaha memperkasakan lagi aspek kebajikan golongan pendidik di negara ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika mengumumkannya hari ini, berkata langkah itu sebagai usaha untuk memberi semangat baharu kepada guru, sekali gus dianggap hadiah kepada golongan itu bersempena dengan Sambutan Hari Guru tahun ini.

Beliau berkata, 10 prakarsa berkenaan adalah penambahbaikan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 5/2002 iaitu Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan, diikuti peluasan Sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan 10 buah sekolah lagi bagi mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan Orang Asli.

Katanya, prakarsa ketiga adalah perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke Sabah.

"Prakarsa keempat yang adalah, KPM bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan, diikuti kebenaran dan kelonggaran pemakaian baju korporat rasmi KPM sewaktu bertugas serta pemansuhan kutipan sumbangan Hari Guru bagi prakarsa keenam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Kali Ke-52 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, prakarsa ketujuh pula mempertingkatkan peranan kumpulan Guru Insani Malaysia dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) bagi melonjakkan lagi profesionalisme guru.

Prakarsa kelapan pula membabitkan penjagaan kebajikan guru.

Katanya, KPM juga menetapkan untuk memberi fokus untuk menjaga kebajikan guru dengan penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0 selain memperkukuhkan lagi kerjasama bersama rakan strategik dengan menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu Mampu Milik.

"Prakarsa terakhir adalah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 12:57 PM