FADHLINA  (belakang, 14 kiri) bersama pelajar pada Majlis Jerayawara Pendidikan Madani peringkat Negeri Kelantan. FOTO  Hidayatidayu Razali
FADHLINA (belakang, 14 kiri) bersama pelajar pada Majlis Jerayawara Pendidikan Madani peringkat Negeri Kelantan. FOTO Hidayatidayu Razali
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Masalah Internet di sekolah luar bandar akan diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan kementerian-kementerian lain.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, selain itu, KPM juga bekerjasama dengan syarikat telco iaitu CelcomDigi bagi menyelesaikan masalah itu.

"Kita sentiasa bekerjasama dengan KKD dan kementerian-kementerian lain serta dalam masa yang sama turut kerjasama dengan CelcomDigi.

"Kita harap (dapat selesai), sementara kita menunggu prasarana dan infrastruktur yang lebih kukuh untuk pengendalian Internet ini.

"Jadi pakej yang ditawarkan ini akan menampung sementara dan akan memastikan guru-guru tidak tercicir dan anak-anak kita tidak tercicir daripada pembelajaran yang memerlukan keperluan digital," katanya pada sidang media selepas Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Sambutan Hari Raya di sini, hari ini.

Pada majlis itu, KPM turut menyerahkan cek bernilai RM105,300 kepada lima sekolah agama, 10 peranti tablet kepada Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) kepada sekolah dalam hospital, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, sumbangan 30 komputer daripada Theta Edge Berhad kepada tiga sekolah agama pondok dan cek lebih RM1 juta iaitu sumbangan 1,312 komputer riba kepada 284 sekolah terpilih bawah KPM.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Zamri Abdul Aziz.

Fadhlina berkata, beliau akan berusaha untuk memastikan liputan Internet ini akan memberi manfaat kepada semua sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 4:27 PM