DR Zulhasnan  (dua dari  kiri) bersama  penerima anugerah sempena  Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Wilayah Keramat di Dewan Utama SJK (C) Wangsa Maju.
DR Zulhasnan (dua dari kiri) bersama penerima anugerah sempena Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Wilayah Keramat di Dewan Utama SJK (C) Wangsa Maju.
Mohd Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: “Saya pernah menerima gaji bulanan sebanyak RM310 saja ketika mula bekerja sebagai guru tetapi pengalaman itu langsung tidak mematahkan semangat untuk terus bergelar pendidik sehingga bersara pada Mac tahun lalu,” kata penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat Wilayah Keramat, Datuk Ruslan Madon.

Ruslan, 61, berkata, beliau bercita-cita menjadi pegawai polis tetapi hasrat itu tidak kesampaian kerana faktor kewangan keluarga.

Meskipun kecewa, Ruslan akur dengan ketentuan itu dan mengikut jejak langkah kakak sulungnya dengan menjadi guru selepas tamat pengajian di sebuah maktab perguruan.

“Kerjaya ini adalah pilihan kedua saya dan bermula dengan mencuba, minat itu semakin bertambah ketika menuntut di maktab perguruan.

“Malah, saya semakin bersemangat selepas menerima galakan daripada ibu dan bapa yang mahu saya menjadi guru kerana ia kerjaya yang mulia.
  “Ternyata, restu mereka membantu saya mengecap pelbagai kejayaan sepanjang 39 tahun berkhidmat sebagai guru dan amat bersyukur kerana berpeluang menjadi sebahagian warga pendidik di negara ini,” katanya.

Beliau menerima anugerah itu pada majlis penyampaian yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Wilayah (PPW) Keramat Asiah Husin di Dewan Utama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wangsa Maju, baru-baru ini.   Hadir sama, Penaung Amal Yayasan Amal Wangsa Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique.
  Anugerah Tokoh Guru Peringkat Wilayah Keramat yang diterima Ruslan itu melayakannya membawa pulang cek bernilai RM1,000, sijil penghargaan, piala iringan dan pusingan dan sejambak bunga.
   Lima guru lain turut menerima pengiktirafan pada majlis berkenaan. Mereka adalah Amiruddin Sahud (Tokoh Kepimpian Persatuan Ibu Bapa dan Guru), Tajudin Mohamad Mor (Tokoh Kepimpinan Pendidikan), Mohd Helmy Abd Najib (Anugerah Guru Inovatif 2016), Mohd Bakri Talib (Anugerah Guru Kokurikulum Cemerlang 2016) dan M.K.Selvakumar (Anugerah Guru Bimbingan dan Kaunseling Cemerlang 2016).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:39 AM