KAMALANATHAN bersama penerima anugerah khas pada Konvokesyen IPGM Kementerian Pendidikan Malaysia di MAEPS, Serdang, semalam.
KAMALANATHAN bersama penerima anugerah khas pada Konvokesyen IPGM Kementerian Pendidikan Malaysia di MAEPS, Serdang, semalam.
Oleh Siti Fatimah Hassan

Serdang: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa berdepan persaingan hebat untuk mengisi 3,200 tempat pengajian di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) memandangkan bilangan permohonan terlalu tinggi hingga mencecah 69,000 orang.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanthan berkata, ia sekali gus membuktikan kerjaya guru masih menjadi pilihan ramai lepasan SPM untuk berkecimpung dalam bidang pendidikan.

Bagaimanapun, katanya, tempat yang terhad menyebabkan mereka perlu melengkapkan diri secukupnya selain memenuhi syarat minimum 5A.

“Di IPGM, kita sebenarnya menerima permohonan yang amat tinggi iaitu 69,000 permohonan namun keperluan yang ada cuma 3,200 saja.

“Daripada jumlah permohonan itu, hanya 27,000 pemohon lepasan SPM mempunyai kelayakan minimum 5A. Ini membuktikan terdapat persaingan untuk menjadi guru dalam negara ini sekali gus menepis andaian mengatakan tidak ramai minat menjadi guru.

“Kita memberi peluang kepada semua asalkan memiliki syarat minimum, memenuhi kriteria serta berjaya melepasi temuduga termasuk temu duga kecergasan. Penilaian juga akan menentukan sama ada seseorang pemohon bersedia menjadi seorang guru,” katanya pada sidang media selepas menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda kepada graduan di Konvokesyen IPGM 2015, di sini, semalam.

Hadir sama Rektor IPGM Datuk Sulaiman Wak, Timbalannya Dr Noriati A Rashid dan Pengarah Pusat Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi IPGM Dr Rusmini Ku Ahmad.

Konvokesyen sidang pertama itu menyaksikan seramai 603 graduan menerima ijazah masing-masing membabitkan Ijazah Perguruan (Bahasa Tamil Pendidikan Rendah), Pendidikan Pemulihan Pendidikan Rendah, Reka Bentuk dan Teknologi Pendidikan Rendah serta Pendidikan Seni Visual Pendidikan Rendah.

Selain itu, Kamalanathan berkata, secara keseluruhannya semua tempat dalam setiap bidang pengajian di IPGM berjaya diisi oleh calon yang layak.

Bagaimanapun katanya, IPGM menghadapi masalah untuk mengisi calon aliran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam tiga bidang iaitu Reka Bentuk dan Teknologi, Seni Muzik dan Pendidikan Jasmani berikutan dikesan ramai yang tidak mempunyai minat.

“Untuk SJKT, kita mempunyai 380 tempat dan pemohon yang diterima sekitar 250 ke 300 calon namun ada beberapa bidang tidak dimohon seperti Reka Bentuk dan Teknologi, Seni Muzik dan Pendidikan Jasmani. Apabila tiada pemohon, kita tidak dapat mengisi kekosongan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 8:24 AM