MAYAT mangsa ditemui  dengan beberapa kesan tetakan senjata tajam.
MAYAT mangsa ditemui dengan beberapa kesan tetakan senjata tajam.

Kluang: Seorang lelaki warga emas yang juga peneroka FELDA ditemui mati dalam keadaan terbaring di kaki lima sebuah kedai makan dengan beberapa kesan tetakan di kepala di Jalan Stesyen, Bandar Kluang di sini, semalam.

Mayat mangsa K Murugaya, 68, dari Kahang Barat di sini, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kepala dipercayai dibunuh dengan senjata tajam, kira-kira jam 6.30 pagi.

Saksi yang juga rakan mangsa, P Dorairaja, 62, berkata, dia yang tinggal di sebuah taman perumahan berdekatan pergi ke pasar awam sebelum menemui mangsa terbaring sebaik melalui tempat kejadian.

Menurutnya, dalam keadaan samar cahaya lampu jalan dari jarak beberapa meter, dia ternampak seorang lelaki terbaring di kaki lima kedai dalam keadaan separuh bogel.

“Hati saya terdetik untuk mendekatinya sebelum terkejut apabila mendapati lelaki itu adalah rakan saya sebelum cuba mengejutkannya tetapi dia tidak memberi sebarang tindak balas.

“Saya panggil namanya berulang kali tetapi tiada sahutan sebelum saya melihat cecair pekat berhampiran kepalanya dan mengesyaki dia bukan tidur biasa tetapi sesuatu yang buruk sudah berlaku.

“Bimbang sesuatu tidak kena, saya terus menghubungi seorang rakan yang tiba tidak lama kemudian dan memeriksa keadaan Murugaya sebelum menghubungi pasukan paramedik untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, anggota paramedik yang tiba bersama sebuah ambulans kemudian melakukan pemeriksaan dan mendapati bahagian kepalanya terdapat tiga kesan tetakan.

Dorairaja berkata, dia mengenali lelaki itu sejak beberapa tahun lalu dan sering melihat lelaki itu berada di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kluang untuk dibedah siasat.

“Polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat dari pihak hospital untuk menentukan punca sebenar kematian mangsa sebelum siasatan lanjut dijalankan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 9:40 AM