KONTRAKTOR syarikat berkaitan IT manfaatkan ilmu pengajian di GIATMARA untuk berjaya dalam perniagaan.
KONTRAKTOR syarikat berkaitan IT manfaatkan ilmu pengajian di GIATMARA untuk berjaya dalam perniagaan.
Suliati Asri


APABILA kemahiran itu dipelajari dengan minat yang mendalam DAN ditambah dengan pengalaman, berada di mana pun pasti bertemu kejayaan.

Itulah yang menjadi pegangan bekas pelajar GIATMARA, Mohd Shamsul Ridzwan Mohd Razak, 35, yang berjaya membuktikan dirinya mampu mengecapi kejayaan dengan minat dan kemahiran yang dimiliki.

Namun, setiap kejayaan yang dikecapi dalam kehidupan mahupun kerjaya pastinya disulami cabaran cerita duka yang tersendiri.

Mohd Shamsul Ridzwan juga tidak terkecuali dari cabaran dalam kehidupannya sehinggakan pernah berputus asa dengan bidang kemahiran.

Bagaimanapun, dia kembali kepada 'kemahiran' kerana percaya dengan kemahiran yang dimiliki serta minatnya yang mendalam dalam bidang teknologi maklumat (IT), dia pasti beroleh kejayaan.

Berkongsi kisah hidupnya, Mohd Shamsul Ridzwan berkata, walaupun meminati IT sejak tingkatan satu kerana merasakan ada sesuatu yang dia boleh terokai namun dia tetap berat hati untuk memulakan pengajian di GIATMARA.

Katanya, ketika memulakan pengajian di GIATMARA, dia baru berusia 17 tahun dan masih ingin bergembira dengan rakan. Maklumlah ketika itu zaman remaja.

"Atas sebab itu, saya sering membuat percubaan untuk ponteng sehingga ibu bapa mengambil inisiatif menghantar dan mengambil saya setiap hari kerana tidak mahu saya ponteng kelas.

MOHD Shamsul Ridzwan ketika bekerja dengan syarikat minyak dan gas satu ketika dahulu.
MOHD Shamsul Ridzwan ketika bekerja dengan syarikat minyak dan gas satu ketika dahulu.

"Lebih dua bulan belajar di GIATMARA, saya paksa diri dan akhirnya minat untuk belajar terutama apabila masuk subjek amali.

"Banyak benda baru yang tak pernah tahu dan ingin tahu diajar di GIATMARA sekali gus membuatkan saya teruja," katanya.

Tamat pengajian di GIATMARA, Mohd Shamsul Ridzwan melanjutkan pelajaran di Institut Kemahiran Mara (IKM) dan seterusnya menyambung diploma di Universiti Terbuka Kuala Lumpur (UniKL).

Bagaimanapun, pengajian di peringkat diploma hanya separuh jalan kerana ketika itu dia merasa sudah tidak minat untuk belajar lagi.

Berkat ilmu kemahiran yang dipelajari, dia memulakan perniagaan berkaitan IT seperti menyediakan servis dan menjual barangan berkaitan bidang berkenaan sehingga sekarang.

Mengulas lanjut katanya, dalam masa menjalankan perniagaan, dia juga bekerja dengan syarikat minyak dan gas tetapi berkaitan dengan IT sekitar 2010 hingga 2017 dengan jawatan terakhirnya adalah eksekutif teknikal dalam bidang radio dan telekomunikasi keselamatan.

MOHD Shamsul Ridzwan membuat kerja-kerja penyelenggaraan berkaitan IT.
MOHD Shamsul Ridzwan membuat kerja-kerja penyelenggaraan berkaitan IT.

"Apabila sudah berhenti kerja, saya meneruskan perniagaan. Tetapi ketika itu perniagaan sedikit merosot dan berlaku insiden yang membuatkan saya kecewa dengan bidang IT serta kemahiran.

"Akhirnya, saya nekad untuk 'simpan' minat, pengalaman dan kemahiran. Tidak mahu ada kaitan dengan bidang itu lagi," katanya.

Sepanjang setahun keluar dari dunia IT, iaitu sekitar 2017 hingga 2018, Mohd Shamsul Ridzwan beralih ke bidang yang berkaitan berkaitan enjin dan mekanikal.

"Namun, semua itu hanya bertahan selama setahun kerana saya menjadi 'pomen' hanya sekadar hobi selain edar memilih bidang itu disebabkan kekecewaan yang dialami.

"Saat itu saya sedar, perkara utama untuk berjaya dalam sesuatu bidang adalah minat. JIka dibuang jauh bidang yang kita minati itu, akhirnya ia kembali juga," katanya.

Bertitik tolak dari kejadian itu, Mohd Shamsul Ridzwan menyedari orang ramai mungkin tidak melihat potensi kemahiran ini tetapi hakikat sebenarnya, ia mampu membolehkan seseorang itu pergi jauh.

"Ketika itu, masih ramai yang melihat kemahiran ini sebelah mata saja tapi hakikatnya ia boleh mengubah kehidupan seseorang.

"Kemahiran dapat mengubah seseorang kemahiran boleh 'dijual.' Ditambah pula dengan minat dan pengalaman, ia pastinya memberikan sesuatu hasil yang terbaik," katanya.

ILMU Kemahiran mempunyai bidang kerjaya yang luas.
ILMU Kemahiran mempunyai bidang kerjaya yang luas.

Sepanjang jatuh bangun dalam kehidupan an bidang kerjaya, Mohd Shamsul Ridzwan bersyukur dikelilingi dengan insan yang banyak memberi dorongan kepadanya.

Katanya, selain keluarga yang banyak membantu dan memberi sokongan pihak GIATMARA juga terutama

Pengurus GIATMARA Segambut, Nurul Azimah Mohd Ani sentiasa memberi nasihat walaupun sudah lama meninggalkan institusi itu.

"Ketika saya mula-mula ingin menceburkan diri dalam bidang bisnes, individu yang saya temui adalah Nurul Azimah kerana sepanjang pengajian beliau banyak membantu saya.

"Beliau pernah berkata kepada saya, kalau tiada modal, pakai kemahiran yang awak ada. Mulanya, saya tidak memahami maksud yang disampaikan kerana mana ada orang berniaga tanpa modal.

"Dalam tidak tahu, saya belajar dan mencari erti ungkapan itu. Saya jual kemahiran saya. Saya jumpa orang untuk memaklumkan perkhidmatan yang saya boleh tawarkan kepada mereka. Itulah juga maksud sebenar apa yang ingin disampaikan Nurul Azimah kepada saya," katanya.

Selain Nurul Azimah, pihak GIATMARA juga sentiasa membantu bekas pelajar atau alumninya walaupun sudah bertahun meninggalkan institusi itu.

GIATMARA menawarkan pembelajaran yang menggabungkan teori dan amali.
GIATMARA menawarkan pembelajaran yang menggabungkan teori dan amali.

Di GIATMARA, pengajaran dan pembelajarannya banyak membabitkan pembelajaran secara amali dan secara tidak langsung ia memberi pengalamn kepada pelajar.

Menerusi pengalaman itu juga, ia menjadikan pelajar keluaran institut itu graduan yang mempunyai kebolehpasaran.

Mohd Shamsul Ridzwan berkata, tidak salah untuk merasa putus asa tetapi jangan sampai ia membuatkan anda terus jatuh lebih dalam.

"Walau apapun yang terjadi, teruslah mencari semangat yang hilang, cubalah cungkil dan perkembangkan kemahiran yang ada serta teruslah belajar.

"Sejujurnya, saya menyesal tidak fokus kepada pelajaran ketika di sekolah menengah kerana banyak ilmu yang diajar di sekolah sangat diperlukan dalam menguruskan kerja-kerja saya sekarang.

"Jadi, kepada anak muda di luar sana, teruskanlah belajar. Ilmu, minat, pengalaman dan kemahiran itu adalah inti kepada kejayaan," katanya yang juga pemilik dan Pengarah Xronex Sdn Bhd.

Syarikatnya juga kini mendapat kepercayaan dari FGV Prodata System apabila dilantik sebagai sub-contractor bagi kerja-kerja Telecom Infrastructure System and Maintennace (TISM).

Selain itu tambahnya, tidak ada ruginya memilih bidang kemahiran kerana sesiapa yang mempunyai kemahiran boleh pergi jauh.

"Selain minat, kemahiran ini datang daripada diri sendiri. Sebagai majikan, saya memandang kemahiran kerana orang yang mempunyai kemahiran ini selalu berfikir di luar kotak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 6:30 AM