Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Skyrides Festival Park yang bakal dibuka kepada orang ramai akhir bulan ini akan menjadi tarikan terbaru di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, selain tambahan ikon baru kempen pelancongan sempena Malaysia Year of Festival (MyFEST) 2015.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat berkata, taman tema yang dibangunkan bersebelahan Monumen Alaf Baru di Presint 2 itu adalah konsep riadah udara pertama seumpamanya dibangunkan di Malaysia buat masa ini, selain yang ke-51 beroperasi di dunia.

Beliau berkata, taman tema bertaraf antarabangsa itu dijangka dilancarkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 29 April ini.

“Tarikan utama pastinya Skyrides Ballon iaitu belon helium yang tertinggi dan terbesar di dunia dengan kapasiti 30 penumpang pada satu-satu masa.

“Belon berkenaan diletakkan di atas platform berbentuk bintang dan boleh mencapai ketinggian sehingga 120 meter di udara,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi di tapak taman tema berkenaan semalam.

Katanya, selain Skyrides Ballon, taman tema itu turut mempunyai tarikan lain termasuk SkyWarriors Rainforest Challenge iaitu permainan berhalangan bertemakan air: SkyGallery iaitu pusat kraftangan berinteraktif dan pusat hiburan kanak-kanak Skykids.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:47 AM