Tee (empat dari kiri) bersama Stocks (tiga dari kiri) dan Mirza pada Majlis Pra Pelancaran SEA LIFE Malaysia di LEGOLAND@MALAYSIA Resort. FOTO/ Mohd Azren Jamaludin
Tee (empat dari kiri) bersama Stocks (tiga dari kiri) dan Mirza pada Majlis Pra Pelancaran SEA LIFE Malaysia di LEGOLAND@MALAYSIA Resort. FOTO/ Mohd Azren Jamaludin
Mary Victoria Dass 

 

AKUARIUM gergasi SEA LIFE Malaysia bakal menjadi tarikan terbaru dalam kalangan pengunjung di taman tema LEGOLAND@MALAYSIA Resort di Medini, Iskandar Puteri, Johor sebelum hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata, ia akan dibangunkan dengan nilai RM50juta.

Beliau berkata, akuarium berkenaan akan dibina berhampiran Merlin Entertainments, Legoland Water Park dan Hotel Legoland.

Menurutnya, tarikan terbaru ini membuktikan pelaburan berterusan oleh LEGOLAND Malaysia Resort yang yakin dengan potensi dan perkembangan industri pelancongan di Johor.

“Akuarium berkenaan dibina di tapak berkeluasan 0.2 hektar akan siap pada suku keempat tahun ini.

“Ia bakal memiliki 25 ruangan, 11 zon habitat selain mempamerkan kira-kira 1,000 hidupan laut.

“Tarikan baru ini menambah bilangan taman tema bertaraf antarabangsa di Johor sekali gus terus meningkatkan imej negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran SEA LIFE Malaysia di LEGOLAND@MALAYSIA Resort, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan Pengurus Besar LEGOLAND@MALAYSIA Resort Kurt Stocks.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 3:19 PM