Permatang Pauh: Ahli PAS Kawasan Permatang Pauh dikatakan terus menerima tekanan pelbagai pihak termasuk PAS negeri yang mendesak mereka bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Ia termasuk ahli PAS terbabit membelakangi keputusan Mesyuarat Agung PAS kawasan itu yang mendesak pimpinan PKR supaya menarik balik dan memohon maaf secara terbuka kenyataan mereka mengenai hudud.

Sumber berkata, sehingga semalam, mereka masih berpendirian mahu PKR mengotakan dua syarat berkenaan sebelum kembali bekerjasama dengan PKR pada PRK nanti.

“Sehingga hari ini, kami tidak menerima ugutan daripada PKR, tetapi menerima tekanan daripada kepemimpinan PAS negeri yang mahu kami bekerjasama dengan PKR pada PRK Parlimen Permatang Pauh.

“Namun, sehingga hari ini (semalam), kami masih mengekalkan keputusan dan pendirian sama iaitu mahukan pimpinan PKR menarik balik dan memohon maaf kenyataan mereka mengenai hudud jika mahukan kerjasama daripada PAS kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan bermesyuarat malam ini dan antara agenda mesyuarat ialah memilih Ahli Jawatankuasa (AJK) baru PAS Kawasan Permatang Pauh serta memutuskan keputusan sama ada bekerjasama atau tidak bekerjasama dengan PKR pada PRK itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 8:54 AM