Kuala Lumpur: “Alhamdulillah segalanya sudah selesai. Doakan kebahagiaan kami,” ringkas komen pelakon Yatt Hamzah di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 35, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusannya untuk menarik balik permohonan perceraian yang difailkannya terhadap suami, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 35.

Terdahulu, pada prosiding semalam, Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah membenarkan notis penarikan balik kes itu selepas peguam syarie Nur Aini Fauzi yang mewakili Yatt memaklumkan pasangan berkenaan telah mencapai kata sepakat untuk mempertahankan rumah tangga mereka.

Pasangan itu kelihatan ceria ketika melangkah meninggalkan mahkamah.

Pada 12 Mac lalu, pasangan itu meminta tempoh sebulan daripada mahkamah untuk menyelesaikan masalah rumah tangga secara baik kerana percaya ia masih boleh diselamatkan.

Yatt memfailkan perceraian itu pada 24 Februari lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 11:01 AM