KAMARIAH menyuapkan nasi untuk Acan yang terpaksa bergantung  kepada mesin bantuan pernafasan.
KAMARIAH menyuapkan nasi untuk Acan yang terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Kuala Lumpur: “Setiap kali lepas solat, saya tidak pernah jemu berdoa supaya Allah beri keajaiban dan sembuhkan penyakit Acan. Kalau boleh saya nak bahagiakan Acan, beri dia yang terbaik selagi ada waktu,” demikian luahan Kamariah Md Daud,45, ibu kepada Muhammad Fikri Hakim Sikin@ Jaudin,14, atau Acan yang menghidap jantung berlubang dan masalah saluran injap jantung tidak normal.

Acan kini terpaksa bergantung terus kepada mesin bantuan pernafasan dan tangki oksigen untuk meneruskan hidupnya sejak kesihatannya merosot pada April tahun lalu.

Penderitaan Acan disebarkan seorang aktivis masyarakat Natipah Abu yang ingin melancarkan dana bagi membantu keluarga itu hingga menjadi viral di Facebook.

Kamariah yang menetap di Muar, Johor berkata, Acan kini memerlukan sokongan oksigen 24 jam untuk meneruskan hidup selain pakar perubatan juga tidak mengesyorkan Acan menjalani sebarang pembedahan berikutan risikonya tinggi.

“Acan menghidap jantung berlubang dan mempunyai saluran injap jantung yang salah sejak kecil. Sepatutnya jantung ada satu saluran injap di sebelah kanan dan satu lagi di sebelah kiri tetapi jantung Acan kedua-dua injap berada di sebelah kanan.

“Sejak tahun lalu, keadaan Acan semakin kritikal dan dia kini hanya bernafas menerusi saluran tiub yang dipasangkan dari hidung ke mesin oksigen concentrator yang diproses dengan kuasa elektrik, malah adakalanya apabila keadaannya kurang stabil kami tukarkan kepada tangki oksigen.

“Acan memerlukan oksigen daripada tangki itu kerana ia lebih tulen berbanding oksigen mesin yang diproses dengan kuasa elektrik,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Kamariah di talian 016-9496585 atau menyalurkan bantuan menerusi akaun Public Bank 4632953825 atas nama Sikin@ Jaudin Lasas atau akaun Natipah Abu 552107617521 (Maybank).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:34 AM