Zulhasmi menunjukkan senarai pemenang bidaan nombor pendaftaran kenderaan yang bermula dengan huruf 'RM' dalam sidang media di Kompleks JPJ Perlis.
Zulhasmi menunjukkan senarai pemenang bidaan nombor pendaftaran kenderaan yang bermula dengan huruf 'RM' dalam sidang media di Kompleks JPJ Perlis.

Kangar: Nombor pendaftaran kenderaan RM8 antara yang paling tinggi dibida sebuah syarikat tempatan dengan bidaan sebanyak RM297,000 selepas diumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, di sini, semalam.

Pengarah JPJ Perlis Zulhasmi Mohamad berkata, syarikat berkenaan berjaya membida nombor itu daripada 26 pembida yang cuba mendapatkan nombor pendaftaran RM8 ketika tempoh pembidaan yang diadakan dari 23 Februari hingga 10 Mac lalu.

“Nilai bidaan yang kedua tertinggi adalah sebanyak RM264,000 untuk nombor pendaftaran RM2 yang dimenangi seorang individu.

“Sebaik tempoh bidaan tamat, nombor pendaftaran RM diikuti angka satu atau dua digit berulang, semuanya sudah dibida dan dimenangi selain individu, bidaan turut dibuat syarikat dan organisasi bukan saja dari Perlis, tetapi serata Malaysia,” katanya.

Zulhasmi berkata, sepanjang 16 hari tempoh bidaan dibuka, pihaknya menerima 6,272 bidaan daripada individu dan juga organisasi dan ia meningkat hampir empat kali ganda berbanding kira-kira 1,700 bidaan yang diperoleh untuk nombor pendaftaran RL sebelum ini.

“Daripada 6,272 bidaan diterima, hanya 1,507 pembida individu atau syarikat berjaya mendapatkan nombor pendaftaran yang mereka inginkan manakala baki 8,491 nombor pendaftaran yang tidak dibida akan mula dibuka kepada orang ramai apabila giliran nombor pendaftaran RL sekarang ini tamat pada penghujung April atau awal Mei nanti,” katanya.

Ditanya mengenai kelewatan senarai pemenang bidaan diumumkan iaitu kira-kira dua minggu dari tarikh ditetapkan, Zulhasmi berkata, ia berlaku berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Antara masalah dihadapi, katanya, termasuk kedudukan pembida yang tidak mengemukakan dokumen lengkap, pengisian borang yang tidak selari dengan maklumat dokumen dan sebagainya.

“Setiap pembida yang sudah memenangi nombor pendaftaran pilihan masing-masing dikehendaki membuat baki bayaran selepas 50 peratus bayaran deposit dalam tempoh sebulan di pejabat JPJ Perlis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:34 AM