Kuala Lumpur: “BERNAS (Padiberas Nasional Berhad) tidak terbabit dalam menentukan kuota khas beras subsidi Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) kepada pemborong.

“Sebaliknya, kami hanya menyalurkan peruntukan kuota mengikut bilangan pemborong disenaraikan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).”

Demikian penjelasan sumber di agensi itu yang menegaskan BERNAS tidak mempunyai kuasa menentukan pengagihan kuota beras ST15 kepada pemborong beras di seluruh negara.

“Proses pemberian kuota itu sebaliknya diputuskan melalui jawatankuasa pemantauan kuota ST15 yang dianggotai beberapa pegawai kanan di MOA dan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) yang akan bermesyuarat pada setiap akhir bulan.

“Jawatankuasa itu akan menentukan permohonan baru atau tambahan, kes-kes pemborong yang melanggar peraturan sama ada melalui aduan atau semakan. Di peringkat ini juga boleh berlakunya ‘arahan’ daripada peringkat atasan yang perlu dipatuhi jawatankuasa.

“Sama ada sebelum atau ketika di peringkat ini jugalah boleh berlakunya rasuah atau toci yang akan mempengaruhi keputusan jawatankuasa berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau, daripada 40,000 tan beras sebulan yang dikeluarkan, 10,000 tan disalurkan kepada kira-kira 100 pemborong Jabatan Pembangunan Usahawan dan Penyelidikan (JPUP) manakala bakinya iaitu 30,000 tan diuruskan oleh bahagian jualan.

“Bagi mengelakkan berlaku penyelewengan beras ini, terdapat beberapa prosedur yang boleh dilakukan jawatankuasa berkenaan antaranya memastikan setiap pemborong mempunyai rekod belian beras daripada BERNAS.

“Selain itu, mereka perlu mempunyai prasarana perniagaan seperti gudang, pengangkutan, mesin pengampit dan sumber kewangan yang mencukupi serta rangkaian peruncitan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya selama dua tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:13 AM