MANGSA dipercayai terbabas akibat jalan licin.
MANGSA dipercayai terbabas akibat jalan licin.

Klang: Cuaca buruk serta hujan lebat dipercayai menjadi punca seorang pengawal keselamatan maut dalam kemalangan di Kilometer 23.3, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini.

Dalam kejadian jam 8.45 malam kelmarin, mangsa, Mohd Ghazali Ithnin, 49, maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah lori satu tan yang berhenti di bahu kiri jalan akibat kerosakan.

Mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada muka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian berlaku ketika hujan lebat.

“Mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss hitam merempuh belakang lori berkenaan menyebabkan mangsa cedera parah dan maut,

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan, namun tidak menolak kemungkinan faktor cuaca menjadi punca kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Inspektor Sutri di talian 03-33762222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 10:12 AM