Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kerajaan memperkenalkan Pelan Halatuju Strategik e-Dagang 2.0 (NESR 2.0) sebagai pendekatan untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekosistem e-dagang di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia telah diluluskan dalam mesyuarat kali kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Katanya, pada masa ini, Malaysia adalah pasaran e-dagang terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

"Menjelang tahun 2025, saiz pasaran e-dagang di Malaysia disasarkan bernilai RM1.5 trilion, berbanding RM460 bilion pada tahun 2018.

"Selain itu, menjelang tahun 2025, disasarkan 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan menerima guna e-dagang berbanding 489,958 pada hujung tahun 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapa berkata, mesyuarat itu juga bersetuju secara prinsip dengan cadangan untuk melaksanakan konsep platform pelbagai aplikasi atau 'Super App' sebagai pusat sehenti bagi perkhidmatan digital kerajaan dan beberapa perkhidmatan digital sektor swasta yang terpilih.

Katanya, kerajaan akan mengadakan libat urus dengan beberapa pihak berkepentingan untuk memperincikan cadangan konsep itu sebelum dimuktamadkan.

"Selain itu, kita juga bersetuju dengan cadangan penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) yang diterajui oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mempromosi dan memudahcara pelaburan dalam bidang digital.

"Dengan pelaksanaan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, pelaburan dalam bidang digital dijangka meningkat," katanya.

Mustapa berkata, majlis itu juga telah mendengar laporan pencapaian keenam-enam kluster yang ditubuhkan iaitu Bakat Digital, Infrastruktur Digital dan Data, Teknologi Baru Muncul, Ekonomi, Masyarakat dan Kerajaan.

"Majlis berpuas hati dengan kemajuan yang telah dicapai keenam-enam kluster dalam melaksanakan inisiatif yang terkandung dalam Rangka Tindakan yang dilancarkan dua bulan lalu.

"Selain itu, kerajaan telah melantik Fabian Bigar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik atau Strategic Change Management Office (SCMO) yang ditubuhkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

"SCMO berperanan memacu pengurusan perubahan dan bertanggungjawab memantau serta menilai pelaksanaan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 9:06 PM