PENGERUSI Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San.
PENGERUSI Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) dan subsidiarinya, penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah, MGB Berhad (MGB) menjalin kerjasama strategik dengan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), untuk memacu inisiatif Pertumbuhan Hijau, Mitigasi Perubahan Iklim dan Gaya Hidup Hijau negara.

Kolaborasi ini mewujudkan konsortium terdiri daripada LBS, MGB, Midwest Green Sdn Bhd (MWG) dan MGTC.

Ia dengan matlamat utama merevolusikan landskap tenaga solar di samping mengintegrasikan teknologi hijau ke dalam evolusi ladang solar yang merangkumi teknologi Pengawalan Penyimpanan Karbon (CCS), pertanian dan penuaian air.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San merangkap Naib Pengerusi Eksekutif MGB berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama bersama MGTC di era kelestarian tenaga boleh diperbaharui (RE) ini.

"Menerusi kolaborasi ini, kumpulan kami dapat memperkukuhkan kepakaran di samping berpeluang mempelopori sektor ladang tenaga solar.

"Gandingan ini bakal merealisasikan masa depan berteknologi tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam," katanya dalam kenyataan.

TIMBALAN Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii (lima dari kiri) bersama Lim  (empat dari kiri) dan pengurusan kanan syarikat di majlis pertukaran Surat Hasrat untuk kerjasama itu.
TIMBALAN Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii (lima dari kiri) bersama Lim (empat dari kiri) dan pengurusan kanan syarikat di majlis pertukaran Surat Hasrat untuk kerjasama itu.

Lim berkata, pihaknya memberikan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan mampan dan bersepadu serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.

"Pemilihan Solarvest Holdings Bhd (Solarvest) sebagai kontraktor Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC), selaras dengan hasrat konsortium yang bercita-cita tinggi untuk melaksanakan program ini bagi skala besar dan direka untuk mentakrifkan semula piawaian industri di samping menawarkan pelan hala tuju lebih hijau dan mampan.

"Kerjasama ini mewakili komitmen kumpulan untuk memacu perjalanan organisasi bagi mencapai matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan meningkatkan usaha kemampanan sekali gus membantu menempatkan kami sejajar dengan rangka kerja Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kerajaan Malaysia.

"Inilah usaha kami bagi membina asas untuk Malaysia yang lebih hijau dan mampan bagi generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 2:27 PM