Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Tindakan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengeluarkan kenyataan Kerajaan Persekutuan melanggar Perjanjian Utama penstrukturan semula bekalan air Selangor dibidas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, pada sesi persidangan di Dewan Rakyat, semalam.

Dr Maximus menyifatkan kenyataan dikeluarkan itu satu kenyataan tidak betul dan mengelirukan orang awam.

Katanya, walaupun Perjanjian Utama ditandatangani pada 12 September 2014, namun ia masih belum berkuat kuasa kerana terdapat syarat permulaan (conditions precedent) yang belum dipenuhi.

“Saya ingin menegaskan, perlanggaran sesuatu perjanjian hanya boleh berlaku apabila perjanjian terbabit sudah dikuatkuasakan.

“Oleh itu, kenyataan Ahli Yang Berhormat Gombak Kerajaan Persekutuan melanggari Perjanjian Utama, adalah satu kenyataan yang tidak betul dan mengelirukan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamed Azmin (PKR-Gombak) sama ada Kerajaan Persekutuan masih komited untuk melaksanakan Perjanjian Utama Penstrukturan Air Selangor yang hingga kini masih belum selesai.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:59 AM