Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menunggu surat rasmi daripada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berhubung keputusan tidak melanjutkan perbincangan bagi memuktamadkan perjanjian penstrukturan semula air Selangor sebelum memberi sebarang ulasan lanjut.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menerusi satu khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mengulas keputusan diambil Mohamed Azmin.

Maximus berkata, kerajaan Selangor perlu memberi penjelasan lebih lanjut mengenai tindakan itu sebelum sebarang reaksi diberikan pihak kerajaan.

“Kita tunggu surat rasmi dari kerajaan Selangor dan penjelasan yang diberikan mereka berhubung keengganan untuk melanjutkan tarikh bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air,” katanya.

Mohamed Azmin ketika ditemui media di lobi Parlimen berkata, perjanjian air antara kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan luput semalam dan tidak akan dilanjutkan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 8:19 AM