JALAN Cheras  ditenggelami banjir selepas  hujan lebat  lebih dua jam, petang semalam.
JALAN Cheras ditenggelami banjir selepas hujan lebat lebih dua jam, petang semalam.

Kuala Lumpur: Hujan lebat tanpa henti selama lebih dua jam menyebabkan laluan berhampiran pusat beli-belah Leisure Mall dan Jalan Cheras berhampiran Bulatan Billion di sini, dilanda banjir kilat petang semalam.

Difahamkan, hujan lebat kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan air naik sehingga 0.5 meter di kawasan berkenaan sebelum surut dua jam kemudian.

Pusat gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Cheras berkata, pihaknya menerima laporan terdapat kenderaan terperangkap di dalam banjir itu kira-kira jam 5.10 petang.

“Sebuah kereta model Perodua Alza dilaporkan terperangkap dalam air banjir berkenaan dan mengalami kerosakan.

“Sebuah jentera dan empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum kenderaan berkenaan berjaya dialihkan dengan selamat dari lokasi banjir itu,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta berkenaan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Banjir kilat berkenaan menyebabkan jalan utama ditutup dan mengalami kesesakan lalu lintas sepanjang tiga kilometer termasuk beberapa jalan lain di sekitar kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:38 AM