Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Kuala Lumpur: Seorang pemuda diseksa selain tubuhnya dilibas berulang kali menggunakan rantai basikal hanya kerana disyaki menjalin cinta terlarang.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 27 tahun diserang dua lelaki yang menceroboh masuk kediamannya di Ampang Indah di sini.

Sumber berkata, kedua-dua lelaki terbabit kemudian menyerang mangsa menggunakan batang besi sebelum bertindak menoreh kepala mangsa menggunakan pisau.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa kemudian dilibas berulang kali menggunakan rantai basikal pada belakang tubuh dan rusuk kanan hingga meninggalkan kesan berbirat,” katanya.

Sumber berkata, mangsa pada awalnya ‘mati akal’ apabila gagal mengenal pasti punca dua lelaki terbabit melakukan tindakan ganas berkenaan.

“Namun, persoalan itu akhirnya terjawab apabila seorang suspek membuka mulut dan memberi amaran supaya mangsa menjauhi kekasihnya.

“Selain dipukul dengan teruk, beberapa barang berharga mangsa turut dilarikan penjenayah terbabit antaranya dua telefon pintar, wang tunai bernilai RM360, serta motosikal model Yamaha LC,” katanya.

Bimbang kejadian sama berulang, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Ampang Jaya di sini, pada jam 12 tengahari berikutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:36 AM