Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera parah di bahagian kepala, mata serta beberapa anggota badan lain dipercayai akibat didera dan lebih malang perbuatan kejam itu disyaki dilakukan oleh penjaganya sendiri.

Difahamkan, kanak-kanak malang terbabit didera oleh ibu dan bapa saudaranya dan mangsa kini dirawat di hospital kerana kecederaan serius yang dialaminya.

Beberapa gambar mangsa yang cedera di bahagian kepala serta lebam pada kedua-dua mata turut menjadi viral dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak kelmarin, namun tiada maklumat mengenai bila kanak-kanak terbabit didera.

Maklumat mengenai nama mangsa serta ibu dan bapa saudaranya yang didakwa mendera kanak-kanak terbabit turut didedahkan manakala mangsa dikatakan menetap di Klebang selain kejadian penderaan itu berlaku di sebuah flat di Menglembu, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya sedang menyiasat berhubung kes penderaan kanak-kanak berkenaan, namun menurutnya, setakat semalam, semakan di Balai Polis Menglembu di mana kawasan kejadian terbabit didakwa berlaku masih belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.

“Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai kejadian terbabit dan saya akan membuat semakan sama ada pihak kami menerima laporan di balai polis lain di daerah ini.

“Polis juga akan menyemak dengan pondok polis di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, untuk kepastian sama ada mangsa dirawat di hospital berkenaan, sekali gus memastikan kesahihan kes terbabit,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Balai Kampung Tawas, Pekan Baru dan Kampung Rapat, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai kes penderaan kanak-kanak berbangsa India itu, namun maklumat yang diperoleh hanya dari pihak lain dan bukannya ahli keluarga mangsa.

Menurutnya, selepas gambar mangsa tersebar, pihaknya bertindak menjalankan siasatan untuk mengetahui kesahihan kejadian itu.

“Apa yang saya dimaklumkan, kejadian penderaan itu memang berlaku, tetapi tidak dapat dipastikan bila dan di mana ia berlaku.

“Saya sudah mengarahkan Pemuda MIC Perak mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:37 AM