Ipoh: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan bapa saudaranya hingga cedera teruk pada bahagian kepala, mata serta beberapa anggota badan disyaki didera antara tempoh 3 hingga 28 Februari lalu ketika berada dalam jagaan saudaranya itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong, semakan pihaknya mendapati laporan berhubung kes penderaan itu dibuat Sabtu lalu oleh bapa mangsa di Balai Polis Bukit Merah, di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dijaga saudaranya yang menetap di Flat lmpiana Adril, Bukit Merah dan kes penderaan berkenaan terbongkar selepas bapa mangsa melawat kanak-kanak malang terbabit.

“Berdasarkan maklumat diterima jam 11.30 malam, 3 Februari lalu, kanak-kanak berkenaan dibawa dari kediamannya di Taman Klebang Jaya, Chemor, di sini, oleh saudaranya itu ke rumah mereka di Bukit Merah untuk dijaga.

“Pada jam 3 petang, Sabtu lalu, bapa mangsa datang ke rumah saudaranya itu untuk melihat keadaan anaknya dan terkejut mendapati mangsa dalam keadaan lebam di muka dan badan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, bapa kanak-kanak terbabit yang berusia 37 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori bertanyakan apa yang berlaku sebelum mangsa mendakwa dipukul saudaranya menggunakan wayar dan tangan.

“Melihatkan keadaan itu, bapa kanak-kanak berkenaan membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan mangsa ditahan di wad kerana kecederaan dialaminya.

“Bapa mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan dilakukan saudaranya itu membuat laporan di Balai Polis Bukit Merah, Sabtu lalu,” katanya.

Sum berkata, selepas menerima laporan terbabit, pihaknya bertindak merakamkan percakapan bapa mangsa, namun lelaki berkenaan berbelah-bagi untuk membuat keputusan sama ada ingin meneruskan tindakan terhadap suspek kerana mereka adalah saudara dan ingin berbincang dengan keluarga terlebih dahulu.

“Disebabkan kes penderaan kanak-kanak ini kes yang serius, pihak kami tetap menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

“Pihak kami juga menahan dua suspek semalam (kelmarin) membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita yang juga saudara kepada mangsa untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 7:25 AM