KESAN calar di belakang badan mangsa yang didera ibunya di Miri. FOTO Mohd Rizal Abdullah.
KESAN calar di belakang badan mangsa yang didera ibunya di Miri. FOTO Mohd Rizal Abdullah.
Kandau Sidi


SEORANG guru dari sebuah sekolah rendah di Miri membuat laporan polis selepas mengesyaki seorang muridnya didera ibu kanak-kanak berkenaan.

Difahamkan, guru terbabit bertindak demikian apabila curiga melihat kesan kecederaan pada kaki kanan anak muridnya itu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah yang mengesahkan kes itu berkata, murid perempuan Tahun 4 itu cedera pada bahagian belakang sebelah kiri badannya dipercayai dipukul menggunakan rotan

Beliau berkata, selain itu terdapat kesan calar berhampiran lutut kanak-kanak berusia 10 tahun itu akibat dipukul ibu kandungnya.

“Kami sudah menerima laporan mengenai kes itu daripada guru murid berkenaan dan siasatan lanjut akan dibuat,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu bukan kali pertama berlaku terhadap murid berkenaan.

Paling menyedihkan, adik mangsa berusia lapan tahun yang belajar di sekolah sama turut mendakwa menjadi mangsa penderaan ibu mereka.

Guru terbabit membuat laporan di Balai Polis Lutong pada 9 pagi semalam.

Difahamkan, guru terbabit pernah berjumpa dengan ibu mangsa tahun lalu, namun ibu mangsa memberitahu sukar mengawal kemarahannya.

Guru berkenaan memaklumkan murid terbabit sering datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan kaunseling.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 11:21 PM