Kuala Lumpur: Orang ramai diminta lebih berhati-hati dengan sebarang bentuk perniagaan atau pelaburan membabitkan emas dan sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian berhubung sesuatu urus niaga yang ingin dilakukan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, penipuan membabitkan emas sudah seringkali dilaporkan, namun masih terdapat segelintir orang awam yang sanggup mengambil risiko sehingga diperdayakan sindiket terbabit.

“Ini bukan lagi perkara baru buat kita, ia sudah banyak kali dilaporkan baik menerusi media massa mahupun amaran daripada pihak berkuasa. Apa yang penting adalah orang ramai perlu merujuk kepada agensi berkaitan.

“Contohnya, jika orang awam ditawarkan dengan pelaburan emas, mereka boleh merujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) sama ada syarikat itu didaftarkan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan kaedah penipuan terbaru membabitkan emas dengan skim baru dikenali ‘kutu emas’ selepas ribuan mangsa sebelum ini tertipu menerusi skim pelaburan, pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan penjualan jongkong emas dengan harga murah.

Berdasarkan laporan berkenaan, skim kutu emas itu menawarkan barang kemas seperti cincin, rantai, gelang dan dinar emas dengan menggunakan aplikasi WhatsApp dan Facebook kepada pelanggannya.

Sebelum ini, Penolong Gabenor BNM Abu Hassan Alshariya Yahya memberi tiga garis panduan secara khusus bagi orang awam untuk memastikan skim itu sah atau sebaliknya dengan melihat kepada ‘janji manis’ sesuatu skim itu.

Antara langkah yang wajar diberi perhatian adalah melihat janji manis skim itu, peratusan pulangan pelaburan tinggi serta gandaan tidak munasabah jika dibandingkan dengan pelaburan yang dibuat.

Abu Hassan Alshariya dalam satu kenyataan baru-baru ini turut menasihatkan orang awam yang menjadi mangsa supaya membuat laporan polis supaya kertas siasatan dapat dibuka sekali gus memburu dalang di sebalik sindiket itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:15 AM