KEADAAN kenderaan terbabit dalam kemalangan semalam.  Gambar kecil, Zillamsya.
KEADAAN kenderaan terbabit dalam kemalangan semalam. Gambar kecil, Zillamsya.

Hulu Terengganu: Dua termasuk seorang bayi berusia setahun terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 384.1, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Ajil, semalam.

Bayi itu, Zillamsya Zikrilah yang cedera parah di kepala dan muka, meninggal di tempat kejadian manakala rakan bapanya, Shahrul Yusof, 22, meninggal dunia di Hospital Hulu Terengganu.

Bapa bayi itu, Zikrilah Mohd Rawi, 25, dan adik iparnya Yusnaidi Zulkifli, 21, cedera parah di kepala dan dilaporkan kritikal. Kedua-dua mereka kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Zikrilah yang tinggal di Indra Sempurna, Kuantan, hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.

Kemalangan itu menyebabkan enjin Honda Civic yang dipandunya tercampak ke atas jalan sebelum sebelum kenderaan itu berpusing.

Sebuah Proton Putra kemudian merempuh enjin terbabit dan melanggar Honda Civic berkenaan sebelum merempuh penghadang jalan.

Pemandu Proton Putra, Mohd Zamzuri Abdullah 28, cedera di kepala manakala rakannya Ahmad Yusri Abdullah, 28, cedera ringan.

Ketika kejadian, Zikrilah bersama anak, adik ipar dan rakannya dalam perjalanan pulang menghadiri majlis perkahwinan rakannya di kampungnya di Bela’oh, Jertih, manakala pemandu Proton Putra itu dari Johor Bahru, pulang bercuti di Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:14 AM