EIZLAN sugul selepas kesnya selesai.
EIZLAN sugul selepas kesnya selesai.

Kuala Lumpur: Pelakon dan ahli perniagaan, Datuk Eizlan Yusof dan isterinya, Datin Vie Santie Harun disahkan bercerai talak satu oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin memutuskan demikian selepas mendapati lafaz yang diucapkan Eizlan atau nama sebenarnya Idris Md Yusof, 44, terhadap Vie Santie, 29, pada 28 September tahun lalu adalah sah dan mengikut syarak.

Mahkamah mensabitkan jatuh talak satu berjumlah satu talak dan mengarahkan sijil nikah pasangan itu dilupuskan selain mendaftar penceraian mereka di pejabat agama Islam Gombak Timur.

Mahkamah juga merekodkan perjanjian persetujuan bersama pasangan itu antaranya nafkah edah diserahkan pada budi bicara Eizlan dan Vie Santie bersetuju untuk tidak menuntut mutaah.

Selain itu, pasangan berkenaan bersetuju hak penjagaan anak diserahkan kepada Vie Santie namun Eizlan diberi hak bersama dan bermalam dengan tiga anak mereka pada bila-bila masa yang munasabah.

Terdahulu, peguam Zulkifli Che Yong yang mewakili Vie Santie selaku plaintif memberitahu mahkamah, difahamkan selepas afidavit keterangan saksi plaintif diberi kepada defendan, pelakon yang popular menerusi filem Impak Maksima itu membaca dan meneliti serta mengingati kembali kejadian (lafaz cerai) berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan ikrar defendan dan merujuk kepada keterangan penyataan tuntutan dan afidavit keterangan saksi, defendan mengingati lafaznya iaitu “Aku lepaskan kau. Aku dah tak nak kau lagi, kau pergi Jawi ambil surat, aku sain (tandatangan) je” yang diucapkan kepada Vie Santie pada September 2014.

Tambah Zulkifli, lafaz itu adalah lanjutan daripada permintaan cerai yang dibuat plaintif, maka gabungan kedua-duanya jelas menunjukkan lafaz itu sah dan mengikut hukum syarak.

Pada prosiding semalam, Eizlan yang tidak diwakili peguam terus meninggalkan perkarangan mahkamah selepas kesnya selesai manakala Vie Santie yang hadir ditemani saudaranya juga enggan memberi sebarang komen.

Vie Santie, selaku plaintif memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata Vie Zaara, Zareef Yusof dan V Zaalia berusia antara tiga hingga enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:48 AM