Kuala Lumpur: Seorang gadis remaja maut dalam keadaan mengerikan apabila tubuhnya dirempuh sebelum diseret kereta sejauh hampir 50 meter sejurus mangsa terjatuh dari motosikal dibonceng.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam, mangsa, Nor Diannatasya Jefry Ariffin Saw, 16, pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di Wangsa Maju, disahkan maut serta merta di Kilometer 4.1 Lebuh raya Seremban-Kuala Lumpur berhampiran susur Desa Petaling di sini.

Ketika kejadian mangsa dikatakan menunggang motosikal bersama rakannya, Mohd Bukhary Ishak, 24, dari arah Wangsa Maju di sini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki dua rakan baik itu merempuh bahagian bucu kanan pacuan empat roda yang berhenti di laluan kecemasan.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal iaitu Mohd Bukhary terjatuh di sebelah lorong kiri manakala rakannya, Nor Diannatasya tercampak di lorong tengah jalan.

“Sebuah kereta model Perodua Alza dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh dan mengheret mangsa sejauh kira-kira 50 meter,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang tukang kayu yang menunggang motosikal maut dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi di Batu 3 1/2, Jalan Klang Lama arah Petaling Jaya itu, mangsa, Tan Eng Kow, 58 maut di lokasi kejadian selepas tercampak dan diseret.

Difahamkan, mangsa mengalami luka di di bahagian kaki dan tangan diangkat orang awam ke tepi jalan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

Polis sedang mengesan kenderaan yang melanggar mangsa dan meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:30 AM