PELAJAR cemerlang STAM MANS menunjukkan keputusan diperoleh. Gambar kecil, Mohd Solihin.
PELAJAR cemerlang STAM MANS menunjukkan keputusan diperoleh. Gambar kecil, Mohd Solihin.
Oleh Melissa Nabila Mustain

Tampin: Kesusahan keluarga mendorong seorang pelajar peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) mendapat keputusan cemerlang 10A, semalam.

Pelajar Maahad Ahmadi Negeri Sembilan (MANS) Gemencheh, di sini, Mohd Solihin Shahril, 19, merangkul gelaran ‘Mumtaz Sofi’.

Mohd Solihin yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, kemiskinan keluarganya mendorong dia untuk berjaya dan mengubah nasib keluarganya itu suatu hari nanti.

“Lahir dalam keluarga berpendapatan rendah menjadikan pendidikan itu satu asas yang penting dalam membina masa depan yang lebih cerah. Ayah saya berniaga kecil-kecilan dengan pendapatan RM800 sebulan.

“Kadangkala kami adik-beradik terpaksa berlapar, tetapi saya tidak sedih kerana berkat dari kesusahan itu, saya lebih memahami konsep bersyukur dan bersabar,” katanya ketika ditemui selepas mengambil keputusan STAM di sekolahnya, semalam.

Menurutnya, walaupun lahir dalam keluarga serba kekurangan, namun sokongan dan doa ibu bapa tidak pernah putus dalam mendoakan kejayaannya dan memastikan dia mendapat pendidikan yang sempurna.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Nazirah Azmi, 19, yang mendapat 8A dalam keputusan STAM memberitahu, menghafal al-Quran dan memperbanyakkan solat sunat antara kunci kejayaannya.

“Saya tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang. Dua minggu sebelum peperiksaan saya hanya menghafal al-Quran dan memperbanyakkan solat sunat.

“Alhamdulillah, berkat usaha berterusan selama ini juga membolehkan saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Seramai 54 pelajar MANS menduduki STAM tahun lalu dan daripada jumlah itu, seramai 10 pelajar mendapat gelaran ‘Mumtaz’ kerana mendapat keputusan cemerlang.

MANS yang juga satu-satunya sekolah tadbiran kerajaan negeri menunjukkan peningkatan apabila mendapat gred purata 2.21 berbanding 2.09 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 10:44 AM