Farah bersama Noor malizah tapsir 46 gembira mendapat keputusan cemerlang STAM dengan Mumtaz Sofi 10 subjek. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Farah bersama Noor malizah tapsir 46 gembira mendapat keputusan cemerlang STAM dengan Mumtaz Sofi 10 subjek. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kesungguhan, minat mendalami bahasa Arab dan fokus ketika guru mengajar antara resipi kejayaan pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas) ini memperoleh keputusan Mumtaz Sofi dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020.

Farah Huda Mohd Zamri, 19, berkata, minatnya mendalami bahasa Arab didorong keinginannya yang bercita-cita menjadi guru bahasa itu, selain galakan keluarga menyebabkan dia mengambil keputusan menduduki STAM.

Lagi pula, katanya, dia memang memasang niat untuk pergi lebih jauh dalam bidang agama dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana merasai nikmat memperoleh keputusan cemerlang dengan 10 mata pelajaran mendapat Mumtaz.

"Walaupun ada ketika, diri ini hilang semangat kerana tidak dapat bertemu rakan untuk mengulang kaji pelajaran bersama akibat pandemik Covid-19, ia tidak menghalang saya meraih keputusan cemerlang itu.

"Sebelum ini saya tinggal di asrama, akibat pandemik Covid-19 kami terpaksa belajar di rumah, jadi saya ambil penyelesaian dengan sering berhubung secara talian dengan rakan bagaimana mereka belajar dan mengembalikan semangat saya semula," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kejayaan Farah Huda juga itu diraih berikutan sikapnya yang tidak lokek ilmu dan sering membantu mengajar rakan yang tidak memahami mata pelajaran tertentu.

Katanya, dari situ dia bukan saja dapat mengulang kaji pelajaran dengan baik, pelajaran itu lebih mudah diingatinya.

"Tidak lupa juga, saya akan membuat latihan, ulang kaji dan menyiapkan kerja sekolah yang diberikan secara konsisten.

"Selepas ini dia bercadang ingin menyambung pelajaran di universiti awam (dalam negara)," katanya.

Sementara itu, seorang lagi calon STAM yang mendapat pangkat Mumtaz, Ainul Munirah Abdul Jalal, 18, berkata, walaupun berdepan kesukaran belajar dalam talian menggunakan Google Meet akibat Covid-19, berkat kerjasama dan dorongan guru semua masalah itu berjaya diatasi.

"Ketika itu agak sukar untuk bertanya kepada guru mengenai apa yang tidak difahami, namun Alhamdulillah berkat kerjasama semua dan semangat daripada guru, saya memperoleh keputusan cemerlang ini.

"Begitupun, mengulang kaji pelajaran dalam situasi pandemik Covid-19 ini membuatkan hubungan saya dan rakan semakin rapat apabila dapat berbincang bersama, tidur lewat untuk belajar dan menghafal," kata pelajar Kulliah Allughah Waddin As Sultan Abu Bakar Pekan, Pahang.

Ainul Munirah berkata, kebiasaan mereka akan menyanyi lagu madah Arab bersama-sama dan menjadi kenangan tidak akan dilupakan sepanjang menjadi pelajar STAM.

"Jika ada rezeki saya ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Jordan atau jika di dalam negara ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Yang pasti, saya berhasrat dan berminat untuk mendalami bahasa Arab sama ada di dalam negara atau luar negara," katanya yang mendapat sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 4:02 PM