ANGGOTA JPAM dan penduduk menunjukkan ular sawa batik yang ditangkap.
ANGGOTA JPAM dan penduduk menunjukkan ular sawa batik yang ditangkap.

Endau: Seorang lelaki membuat keputusan tepat mendapatkan bantuan rakan bagi menangkap ular sawa sepanjang enam meter yang dijumpainya kerana bimbang reptilia itu mengancam keselamatan penduduk Kampung Teriang Besar, di sini, kelmarin.

Pada jam 9 malam, Mohd Sukri Sulaiman, 31, mengelak daripada melanggar ular sawa yang merentangi jalan ketika menunggang motosikal bersendirian di Jalan Penyabong.

Katanya, bimbang ular itu masuk ke rumah penduduk berdekatan untuk mencari makanan, dia berpatah balik mendapatkan bantuan rakan untuk menangkapnya.

“Seramai 10 lelaki diperlukan untuk menangkap ular ini termasuk pertolongan daripada beberapa pengguna jalan raya yang melalui kawasan ini.

“Selepas hampir setengah jam bertarung dalam cuaca gelap, ular berkenaan ditangkap,” katanya.

Sukri berkata, penduduk lega reptilia dianggarkan seberat 60 kilogram itu ditangkap kerana bimbang membahayakan pengguna jalan raya, selain mengancam keselamatan penduduk dan haiwan ternakan.

“Saya yakin ular sawa ini keluar mencari makanan kerana kawasan di sekitar dinaiki air berikutan hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan banjir,” katanya.

Reptilia itu diserahkan kepada anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Mersing yang tiba selepas dihubungi penduduk untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:10 AM