MOHD Hamirul Mohd Rosdi memeriksa keadaan rumahnya yang terbakar.
MOHD Hamirul Mohd Rosdi memeriksa keadaan rumahnya yang terbakar.

Dungun: “Hanya Tuhan saja tahu hati saya, sudahlah suami diserang angin ahmar dan menjadi mangsa banjir, malam tadi (kelmarin) rumah kami terbakar,” kata Norhaliza Yusof, 47, selepas rumahnya di Kampung Pinang Baru, Paka di sini, musnah terbakar, kelmarin.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 9 malam ketika dia dan suami, Mohd Rosdi Mahmud, 43, serta enam anak berada di pusat pemindahan di Sekolah kebangsaan Kampung Nyior di sini.

“Saya mendapat khabar jam 9 malam ketika berada di pusat pemindahan dan segera pulang ke rumah menyelamatkan harta benda, tetapi gagal berikutan api marak,” katanya yang 10 hari berada di pusat pemindahan itu.

Katanya, dia sedih gagal menyelamatkan harta benda dan tidak tahu bagaimana untuk membina semula rumah memandangkan kehidupannya miskin.

“Suami tidak dapat bekerja akibat angin ahmar sejak sebulan lalu memaksa saya memikul tugas bekerja sebagai tukang cuci di syarikat swasta.

“Semua barangan rosak akibat rumah ditenggelami banjir dan semalam (kelmarin) rumah pula terbakar serta memusnahkan motosikal Honda EX5, pakaian serta buku sekolah anak-anak,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih dengan sumbangan dihulurkan kerajaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka Ahmad Shah Mohamad Arifin berkata, pihaknya bergegas selepas terima panggilan bersama tujuh anggota serta jentera.

Menurutnya, kebakaran dipadam sepenuhnya 15 minit selepas itu manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:45 AM